Kumar bersama-sama Pegawai Khas Menteri Besar Johor, Chua Jian Boon berbincang berkenaan penemuan kanak-kanak perempuan yang ditemukan, selepas sidang akhbar hari ini di IPK Johor, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang ditemui bersama kanak-kanak perempuan yang diculik di Batang Kali, Selangor hari ini ditahan polis Johor bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, Albertine Leo Jia Hui, 6, ditemui di sebuah hotel murah pada pukul 4.45 pagi bersama-sama seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

Katanya, mangsa berjaya diselamatkan hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Kanak-kanak perempuan tersebut ditemui dalam keadaan selamat dan siasatan awal mendapati tiada kecederaan fizikal tetapi mangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

“Lelaki bersama-sama mangsa tersebut ditangkap dan dibawa ke Johor untuk siasatan. Jumlah ini menjadikan lima suspek sudah ditahan setakat ini bagi membantu siasatan.

“Dua lelaki dan seorang wanita ditahan petang semalam berusia 28 hingga 55 tahun dan direman empat hari bermula hari ini manakala seorang wanita, 40, ditahan malam tadi dan lelaki yang ditahan bersama-sama mangsa itu merupakan tangkapan kelima,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Katanya, semua suspek berkenaan tidak memiliki sebarang pertalian dengan mangsa dan pihak polis masih menyiasat motif penculikan itu termasuk sekiranya ada kaitan dengan sindiket tertentu.

Jelas Kumar, keluarga mangsa tidak menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan sepanjang kanak-kanak perempuan berkenaan diculik.

Kata Kumar, pihaknya sedang melakukan siasatan sama ada semua suspek mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan jenayah.

Menurutnya, pihak polis merampas sebuah kereta yang digunakan untuk melarikan kanak-kanak perempuan berkenaan ke Selangor.

“Sepanjang kanak-kanak perempuan berkenaan diculik, keluarganya menerima banyak panggilan yang kebanyakannya maklumat tidak betul dan pihak polis terpaksa menyiasat dan mengesahkannya.

“Jadi kita menasihatkan orang awam menjadi lebih bertanggungjawab dengan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana yang menyebarkan maklumat palsu,” tegasnya.

Tambah Kumar, laporan kehilangan mangsa sebelum ini dilaporkan bapa kanak-kanak perempuan berkenaan pada pukul 8.30 malam Sabtu sebelum peniaga di kawasan berkenaan membantu mencarinya tetapi tidak berhasil.

Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.

Tambahnya, kes turut disiasat bawah Seksyen 14(a) Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 iaitu sentuhan fizikal ke atas kanak-kanak..

Semalam, ketiga-tiga suspek ditahan kira-kira pukul 1.30 petang di sekitar kawasan Gelang Patah, Iskandar Puteri.

Jia Hui disedari hilang kira-kira pukul 8.30 malam Sabtu lalu ketika berada di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri.

Kes kehilangannya itu diklasifikasikan semula daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Albertine Leo ditemukan selamat di Batang Kali