KUALA LUMPUR – Rata-rata pengguna internet dan media sosial tidak memandang serius berkenaan kesalahan buli siber dan menganggap tindakan mereka hanya melawak atau bergurau di alam maya.
Sedangkan, menurut pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi (PPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh, buli siber itu yang berlaku dalam banyak bentuk seperti memalukan individu dengan ejekan, menyebarkan fitnah atau berita palsu boleh memalukan mangsa.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa PPM berkata, bergurau atau melawak tidak wajar dijadikan alasan yang boleh diterima untuk mengelak daripada kesalahan buli siber.
“Kes buli siber di negara ini amat serius dan memerlukan perhatian dalam kalangan masyarakat kerana kesannya kepada mangsa adalah sangat besar seperti menyebabkan masalah kesihatan mental sehinggalah kepada kematian,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengarahkan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din mengambil tindakan segera berhubung isu lambakan berita palsu, penipuan dan buli siber dalam media sosial di negara ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, masalah berkait media sosial kian membelenggu rakyat sehingga ada yang mengambil tindakan membunuh diri.
Dalam pada itu, Mohamad Saifudin menyifatkan ketegasan kerajaan dalam menangani isu buli siber adalah wajar kerana kebebasan media sosial memerlukan panduan supaya warga internet lebih bertanggungjawab, beretika dan berintegiriti dalam menggunakannya tanpa memberikan kesan buruk terhadap orang lain.
Selain itu, tambah beliau, komunikasi dan pendidikan tentang buli siber atau juga dikenali sebagai ‘tindakan agresif secara elektronik’ itu juga perlu dilakukan secara intensif di peringkat awal persekolahan.
“Kempen tentang buli siber, kesannya dan etika dalam menggunakan media sosial juga perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi masyarakat awam,” katanya.
Dalam masa sama, ujar beliau, pengguna media sosial juga perlu mempunyai pengetahuan dan kesedaran kendiri tentang etika penggunaan media sosial supaya tidak terjebak dalam masalah buli siber.
Mengambil contoh dalam kes terbaharu buli siber yang melibatkan kematian seorang pempengaruh baru-baru ini, jelasnya, ada dalam kalangan warganet melakukan ‘buli siber balik’ kepada pembuli berkenaan.
“Ia seakan-akan buli siber berantai dan berpanjangan dalam media sosial di Malaysia dan memberi kesan lebih buruk kepada masyarakat jika tidak ditangani dengan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette