KUANTAN: Sebanyak 10 daripada 27 kes orang hilang sepanjang tahun ini masih dalam siasatan polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, daripada jumlah itu empat kes di Bera, Lipis (3) dan masing-masing satu kes di Kuantan, Jerantut dan Pekan.
Ia termasuk kes seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) masalah mental, Rosdan Mat, 52 yang dilaporkan hilang di Kampung Redan, Mela, Lipis pada 28 Jun lalu.
“Setakat ini tiada pentunjuk baharu ditemui,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah Komtinjen Pahang bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan, di sini hari ini.
Mengulas tentang penemuan seorang remaja di Bentong yang dilaporkan hilang pada 15 Julai lalu, Nur Aina Faqihah Sharizan, 17, Yahaya berkata, siasatan lanjut masih lagi diteruskan bagi mengetahui punca kehilangan remaja itu.
“Remaja itu ditemui pada 22 Julai hasil makluman orang awam yang menemuinya dalam keadaan berkeliaran di sebuah stesen bas di Triang, Bera.
“Kita sudah buat siasatan awal dan melakukan pemeriksaan dan hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan tiada perkara yang kita tidak ingini berlaku.
“Remaja itu telah kita serahkan kepada ibu bapanya namun siasatan dari segi rakaman keterangan mereka yang terlibat masih dilakukan,” katanya.
Menurut Yahaya lagi, remaja terbabit difahamkan sebelum ini pernah dua kali melarikan diri.
Sementara itu, dalam majlis berlangsung hari ini, enam pegawai kanan polis berpangkat Asisten Suprintendan (ASP) mendapat kenaikan pangkat kepada Deputi Supritendan (DSP).
Manakala seramai 494 yang menerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang adalah terdiri daripada 43 pegawai kanan polis, 398 pegawai rendah polis dan 53 pegawai awam. – MalaysiaGazette