Penguat Kuasa JIM Johor menahan pekerja wanita warga asing dalam Ops Gegar di lima pusat hiburan dan pusat refleksologi di Segamat, semalam.

SEGAMAT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 28 warga asing dan seorang majikan warga tempatan dalam Ops Gegar di lima pusat hiburan dan pusat refleksologi di sini semalam.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu dilakukan secara serentak melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa JIM negeri Cawangan Segamat.

“Tindakan ini diambil susulan aduan awam yang diterima menyatakan terdapat sejumlah warga asing bekerja tanpa pas dan permit yang sah untuk tinggal di Malaysia.

“Seramai 48 warga asing termasuk warga tempatan diperiksa. Tangkapan dibuat melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga premis berusia 48 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, semua warga asing berkenaan melibatkan 12 wanita warga negara Thailand, 11 wanita Vietnam dan lima wanita Indonesia.

Menurut beliau, semua yang ditahan berusia dalam lingkungan 17 hingga 48 tahun.

Semua warga asing itu katanya, ditahan atas kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki permit serta tinggal lebih masa.

Menurut beliau, siasatan turut dilakukan mengikut Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan sosial (PLS) dan Peraturan 39(b) kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Jelasnya, seorang lelaki tempatan yang ditahan itu disiasat bawah Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

JIM Johor tambahnya, tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap majikan dan pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen dan permit yang sah. – MalaysiaGazette