Bela Hadid dalam iklan Adidas yang ditarik balik.

WASHINGTON – Syarikat pakaian sukan berpangkalan di Jerman, Adidas memohom maaf kepada supermodel terkenal berdarah campuran Palestin, Bella Hadid.

Permohonan maaf itu disampaikan di tengah-tengah laporan bahawa Hadid sedang mempertimbangkan untuk menyaman Adidas kerana mengaitkannya dengan pembunuhan 11 atlet Israel di Munich pada Olimpik 1972.

“Kaitan terus dibuat kepada tragedi dahsyat yang berlaku di Sukan Olimpik Munich berikutan kempen SL72 kami baru-baru ini.

“Kaitan ini tidak dimaksudkan dan kami memohon maaf atas sebarang kekecewaan atau kesusahan yang disebabkan oleh komuniti di seluruh dunia. Kami melakukan kesilapan yang tidak disengajakan.

“Kami juga memohon maaf kepada rakan kongsi kami, Bella Hadid, ASAP Nast, Jules Koundé, dan lain-lain, atas sebarang kesan negatif terhadap mereka dan kami sedang menyemak semula kempen itu.”.

Hadid dilaporkan mengupah sepasukan peguam untuk menyaman syarikat pakaian sukan berpangkalan di Jerman, Adidas.

Tindakan itu diambil selepas Adidas menggugurkan Bella daripada kempen keluaran terbaharu kasut retro berinspirasi Sukan Olimpik Munich 1972 selepas ia mendapat kritikan daripada kumpulan pro-Israel

Sumber memberitahu US WEEKLY bahawa Hadid akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Adidas atas kekurangan akauntabiliti awam dalam menerbitkan kempen yang akan mengaitkan sesiapa dengan kematian dan keganasan yang berlaku semasa Sukan Olimpik Munich 1972.

Sumber itu menyatakan, “Bella Hadid amat menentang keganasan.”

Pelbagai kumpulan dan institusi Yahudi dan pro-Israel telah mengkritik pemilihan Hadid sebagai model terhadap kempen promosi kasut SL72 yang dikeluarkan Adidas pada tahun 1972 ketika Olimpik Munich berlangsung.

Hadid, yang dilahirkan di Amerika Syarikat dan bapanya berketurunan Palestin, yang  mana keluarganya terpaksa melarikan diri ketika awal penjajahan Israel terhadap negara tersebut.

Keluarga tersebut telah mengkritik keras Israel yang telah membunuh lebih 40,000 penduduk Gaza sejak 9 bulan lalu.

Mereka telah menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza – dakwaan yang ditolak sebagai tidak berasas oleh Israel – dan telah dituduh oleh Israel dan kumpulan Yahudi Amerika Syarikat antisemitisme.- Agensi