Onn Hafiz merakam kenangan bersama-sama penerima Anugerah Sekolah Agama Cemerlang dan Tokoh Guru Cemerlang dalam Majlis Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Negeri Johor di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Bekas pelajar dan persatuan alumni sekolah agama di negeri ini boleh melakukan pelbagai program bagi mengutip dana dalam membantu mencukupkan keperluan serta memenuhi kebajikan sekolah.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau percaya ramai yang mahu memberi sumbangan sekiranya diberi peluang untuk berbuat demikian.

Tambah beliau, persatuan alumni atau bekas pelajar boleh mencontohi sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) serta Maktab Sultan Abu Bakar dan Sekolah Tun Fatimah yang mengambil inisiatif sendiri dalam mengutip dana bagi sekolah masing-masing.

“Buat program alumni dan libatkan masyarakat, tentu ramai akan bantu dan melalui dana itu.

“Dalam tempoh tiga hingga empat bulan pelaksanaan pelbagai program melibatkan alumni sekolah, mereka berjaya mengumpul dana sehingga RM1 juta.

“Saya telah melawat beberapa sekolah di Johor termasuk sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan SJKC, tidak dinafikan antara sekolah-sekolah yang mempunyai penyelenggaraan (bangunan) yang baik adalah SJKC.

“Mereka (SJKC) juga mendapat peruntukan dan bantuan kerajaan tetapi bantuan dari alumni mereka menjadikan peruntukan dana sekolah menjadi lebih banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari Guru Agama Sekolah Kerajaan Negeri Johor di Savana Hill Resort di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

Dalam pada itu, Mohd Fared menyambut baik cadangan tersebut dan akan melaksanakannya dengan kadar segera selepas mengadakan perbincangan berhubung perkara itu

“Cadangan sangat baik di samping bergantung kepada peruntukan kerajaan negeri dan pusat. Menteri Besar mahu sekolah agama menerusi badan kebajikan sekolah dan alumni yang terima pendidikan sebelum ini sudah bekerja dan berjaya kembali menyumbang.

“Saya mengakui belum dimulakan di sekolah agama, saya terima baik cadangan itu dan akan segera berbincang tentang pelaksanaannya, kita mulakan secepatnya, BKS ini sudah ada tapi kutipan belum dilaksanakan secara tersusun dan boleh dilaksanakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette