Seorang bayi perempuan berusia dua bulan patah kaki kiri disyaki didera pengasuh di Bandar Dato Onn, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang pengasuh bagi membantu siasatan kes seorang bayi perempuan dua bulan yang disyaki didera sehingga patah kaki kiri di Bandar Dato Onn di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pengasuh wanita berusia 36 tahun itu sudah ditahan dan direman selama enam hari bermula semalam sehingga Ahad.

“Polis menahan pengasuh selepas ibu bapa bayi berkenaan membuat laporan polis petang Ahad lalu.

“Kes disiasat menerusi Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu tular dalam media sosial perkongsian ibu bayi berkenaan yang menyedari ada yang tidak kena dengan anaknya selepas mengambilnya pada Sabtu lalu.

Dakwanya ketika menukar lampin, bapa mangsa ternampak kesan bengkak pada paha kiri selain anaknya tidak aktif seperti kurang minum susu.

Bayi berkenaan kemudiannya dibawa ke sebuah klinik untuk pemeriksaan sebelum dirujuk ke hospital kerajaan. – MalaysiaGazette