Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Badminton yang dilihat sebagai salah satu sukan kegemaran rakyat Malaysia sudah menjadi aktiviti yang tidak lagi mesra dompet.

Nanyang Siang Pau melaporkan, harga bulu tangkis telah melonjak sebanyak 40 peratus dengan mencecah RM10 untuk setiap ‘bola’.

Peniaga mengimport lebih banyak jenama untuk menghadapi gelombang kenaikan harga bulu tangkis serta mengimport terus dari pengeluar China bagi mengelakkan orang ketiga atau negara ketiga seperti Jepun.

Pengasas Liga Ungu Malaysia, Datuk Jack Koh berkata, bulu tangkis Yonex AS-30 dijual pada kira-kira RM70 satu gulung dengan 12 ‘bola’ sebelum pandemik, tetapi harganya telah meningkat kepada RM98 pada masa ini.

Pengendali kelab badminton itu berkata, peningkatan harga merupakan sesuatu yang boleh “dirasakan” kerana pihaknya menggunakan bulu tangkis yang banyak setiap hari.

Jelasnya, buku tangkis adalah dibuat daripada bulu angka atau buku itik dan China merupakan pengeluar terbesar.

Beliau berkata, untuk menghasilkan sebiji bulu tangkis, sebanyak lapan ekor angsa diperlukan kerana setiap ekor hanya mempunyai dua helai bulu yang sesuai, sedangkan sebiji bulu tangkis memerlukan 16 helai bulu.

“Oleh itu, 96 ekor angsa diperlukan untuk menghasilkan satu gulung atau 12 biji bulu tangkis,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Jack berkata, sebiji buku tangkis memerlukan tiga bulan untuk disiapkan dan bahagian bulu yang digunakan, warna, kehalusan, tempoh tumbesaran dan cara potongan akan menentukan gred bulu tangkis.