TAIPING – Ibu kepada tiga cahaya mata mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan terhadap remaja lelaki pada Julai tahun lalu.
Tertuduh, S. Kantah, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Majistret R. Prabakaran.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta jenis Proton Saga FL 1.3 dengan nombor pendaftaran NCT 217 telah menggunakan kenderaan tersebut di jalan raya tanpa cermat hingga menyebabkan kemalangan terhadap penunggang motosikal berusia 19 tahun ketika itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 5.10 petang di Jalan Taiping-Bagan Serai di sini, pada 3 Julai tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan boleh dipenjara tidak lebih 12 bulan, jika disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfabuddin.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 serta menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh serahan dokumen. – MalaysiaGazette