Onn Hafiz (tengah) dan Mohd Fared menyampaikan sumbangan kepada Tokoh Guru (Perempuan) dalam Majlis Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Negeri Johor di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Lima ajaran sesat yang difatwakan haram tetapi dikesan masih aktif di negeri ini dipantau rapat Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, lima ajaran sesat tersebut iaitu ajaran Syiah, Hizbur Tahrir, ajaran Millah Abraham, ajaran Suhaini Mohammad (Sihulk) dan ajaran Qadiani masih dalam keadaan terkawal.

“Ia merupakan lima daripada 19 ajaran sesat yang telah difatwakan haram di negeri ini dan dipantau ketat JAINJ.

“Terdapat dua aduan berhubung ajaran Millah Abraham iaitu pada Januari dan Jun lalu di Pontian dan Segamat. Tiada sebarang aduan diterima berhubung ajaran Syiah dan Hizbur Tahrir pada tahun lalu dan tahun ini.

“Bagi ajaran Sihulk, kumpulan ini bergerak aktif dalam media sosial dan sentiasa dipantau oleh JAINJ dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Kumpulan ini aktif di New Zealand,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Guru Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor di Savanna Hill Resort di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, sejak 1986 hingga 2022, sebanyak 19 ajaran sesat difatwakan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini.

Antaranya, kata beliau, ajaran Ayah Pin, ajaran Taslim, ajaran Wahabi, ajaran Qadyani, ajaran Gunung Ledang Tangkak, ajaran Ilmu Makrifat, ajaran Azman Samat dan ajaran Yayi.

Mengulas beberapa siri penahanan dan pendakwaan pengikut ajaran dan fahaman sesat termasuklah kumpulan pengganas Islamic State (IS) di negeri ini, Mohd Fared berkata, ia perlu dilihat dari sudut positif dan menunjukkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dengan baik.

Katanya, banyak tangkapan tidak bermaksud negeri ini dalam bahaya, begitu juga sebaliknya.

“Ini menunjukkan kesungguhan agensi penguatkuasaan kita dalam mengenal pasti mana-mana individu dan sekecil mana pun peranan mereka. Jika mereka terlibat dengan perbuatan jenayah atau ajaran sesat, kita tidak kira siapa, kita akan tangkap.

“Jika banyak tangkapan, saya gembira kerana bermaksud kita berjaya kenal pasti, berbanding jika sedikit tangkapan tetapi bermaksud masih ramai ada di luar. Saya juga mahu masyarakat lihat perkara ini daripada aspek positif,” katanya.

Menurut beliau, banyak tidak bermaksud Johor dalam bahaya manakala sikit pula tidak bermaksud dalam keadaan selesa sambil menyifatkan itu bukan garis panduan yang tepat.- MalaysiaGazette