KUALA LUMPUR – Harga emas dunia telah melonjak 17 peratus pada tahun ini dan merancakkan jual beli termasuk di kedai-kedai barangan kemas.
Pengerusi Eksekutif Habib Jewels, Datuk Seri Meer Habib berkata, jual beli emas telah meningkat selari dengan keadaan pasaran.
Katanya, selain orang ramai yang menjual emas untuk mendapatkan keuntungan tunai, terdapat juga yang melabur dalam emas atau menukar emas lama kepada yang baharu.
Beliau berkata, sebanyak 60 peratus pelanggan gemar “menukar emas” iaitu daripada yang lama kepada yang baharu.
Katanya, berlaku juga peningkatan orang ramai yang menjual emas bagi mengambil kesempatan harga emas yang tinggi.
“Jumlah pelanggan yang menjual barangan kemas emas atau ketulan emas meningkat kira-kira 15 peratus,” katanya kepada China Press.
Meer berkata, rakyat Malaysia melihat emas sebagai pelaburan yang menjamin nilai dan penyimpanan emas sesuatu yang sesuai dilakukan pada bila-bila masa.
Katanya, kenaikan harga emas global hanya meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pelaburan emas dan kadar jualan telah meningkat antara lima hingga 10 peratus.
“Di Malaysia, tidak kira pelanggan Melayu, India atau Cina, mereka bukan sahaja membeli emas sebagai barangan kemas, tetapi sebagai pelaburan juga,” katanya.