Pteropoda sebelum ini dikesan di kepulauan sekitar Mersing yang boleh membahayakan manusia kerana mempunyai sengat

MERSING – Kepulauan sekitar daerah ini terutama Pulau Mertang, Pulau Harimau dan Pulau Besar kini diisytiharkan bebas daripada rebakan organisma berbahaya pteropoda yang boleh menyerang manusia.

Jabatan Perikanan Negeri Johor (JPNJ) memaklumkan rebakan spesies itu dapat dihentikan berikutan perubahan pada parameter fizikal dan kimia persekitaran seperti suhu, saliniti, makanan serta parameter biologikal seperti persaingan dan pemangsa.

“Namun jabatan perikanan akan terus menjalankan pemantauan berkala dan kajian berkaitan spesis moluska ini daripada semasa ke semasa.

“Ini bagi memastikan perkara ini dalam kawalan dan memohon komuniti setempat dapat melaporkan perkara seumpama ini dengan kadar segera kepada jabatan bagi membolehkan tindakan awal diambil,” menurut JPNJ dalam satu kenyataan.

JPNJ memberitahu, pihaknya menerima maklum balas pengusaha-pengusaha industri pelancongan tempatan bahawa organisma berkenaan sudah tiada dan tidak lagi mengganggu aktiviti air di pulau-pulau.

Menurut jabatan itu lagi, hasil pemerhatian juga mendapati aktiviti pelancongan kembali seperti sediakala.

“Susulan daripada notis Jabatan Perikanan Negeri Johor berkaitan dengan rebakan gastropoda yang dikenal pasti sebagai pteropoda (c ) di perairan Mersing, Johor pada 3 Julai lalu, pihak kami bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Taman Laut Negara (PPTLN) bagi menjalankan pemantauan di beberapa pulau di perairan Mersing bagi mengesan kehadiran spesis itu,” jelas JPNJ.

Aktiviti pemantauan itu kata JPNJ, dijalankan bermula dari 16 hingga 19 Julai lalu yang membabitkan aktiviti pemantauan di lapangan, tinjauan dan analisis makmal.

“Aktiviti pengecaman spesies berkenaan dijalankan di makmal Biosekuriti Perikanan JPNJ dan mendapati sampel air yang diambil daripada pulau terbabit menunjukkan ketidakhadiran spesis pteropoda,” katanya.

Pada 5 Julai lalu media melaporkan perairan Mersing diserang organisma akuatik berbahaya pteropoda, sejenis Zooplankton dan organisma akuatik berbahaya dan mempunyai sengat yang boleh memudaratkan manusia dikesan di Perairan Mersing.

Susulan itu orang ramai dinasihatkan menangguhkan aktiviti berkaitan air di perairan di sini selepas organisma akuatik berbahaya itu dikesan.

Kehadiran serangan gastropoda yang dikenal pasti sebagai pteropoda (Creseus Acicula) itu dikesan pasukan penyelidik dari Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung pada 11 Jun lalu di perairan kepulauan Mersing.

Pteropoda adalah Zooplankton berasal dari perairan tropika dan subtropika.

Perubahan iklim, peningkatan suhu air, dan air ‘ballast’ perkapalan dipercayai menjadi punca penyebaran spesis ini ke perairan Malaysia.

Moluska ini mempunyai sengat yang boleh menyebabkan keradangan, kegatalan, kekeringan, pengelupasan, kemerahan dan kulit bersisik. – MalaysiaGazette