Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan

JOHOR BAHRU – Polis Johor mengesahkan tiada tangkapan suspek terbaharu dibuat membabitkan kes penculikan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan memberitahu, setakat ini, hanya lima suspek yang masih di bawah tahanan reman bagi membantu siasatan kes.

“Tiada tangkapan baharu. Terima kasih,” jawabnya ringkas ketika dihubungi.

Beliau mengulas perkembangan terbaharu kes kanak-kanak yang dilaporkan dibawa lari ketika di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini pada Sabtu lalu.

Ditanya pelbagai perkembangan siasatan lain termasuk motif penculikan dan hubungan suspek dengan ibu atau bapa mangsa, beliau memohon untuk diberi ruang siasatan lanjut dilaksanakan terlebih dahulu.

“Harap bersabar, persoalan akan dijawab setelah siasatan selesai. Mohon beri ruang untuk pihak polis selesaikan siasatan. Terima kasih,” katanya lagi.

Jia Hui disedari hilang kira-kira pukul 8.30 malam oleh ibu bapanya yang berniaga di festival Bon Odori di pusat beli-belah itu.

Kes kehilangan kanak-kanak itu kemudian diklasifikasikan daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah, susulan tangkapan pertama dibuat ke atas tiga suspek kelmarin.

Dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 28 hingga 55 tahun ditahan kira-kira pukul 1.30 petang di sekitar kawasan Gelang Patah, Iskandar Puteri, sebelum tangkapan susulan dibuat terhadap seorang lagi wanita berusia 40-an ditahan sekitar daerah ini pukul 12.15 tengah malam semalam.

Keempat-empat suspek warga tempatan itu kemudian ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.

Polis kemudian berjaya menyelamatkan mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik itu di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor kira-kira pukul 4.45 pagi semalam sebelum menahan suspek kelima, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang ada bersama mangsa.

Suspek itu dipercayai membawa mangsa dari Johor ke Selangor dengan menaiki sebuah kereta.

Lelaki itu kemudian dibawa ke Mahkamah Johor Bahru dan dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan.

Difahamkan, Albertine Leo juga sudah selamat pulang ke pangkuan keluarga petang semalam. – MalaysiaGazette