Thow Siang (tengah) menunjukkan salinan laporan yang dibuat berkenaan ugutan diterima di Balai Polis Desa Cemerlang, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Ketua Biro Aduan Awam Perikatan Nasional (PN) Johor, Lim Thow Siang mendakwa diugut tembak oleh beberapa kumpulan scammer yang aktif di bandar raya ini dan Singapura pada minggu lalu.

Menurut Thow Siang, ugutan diterimanya pada pukul 4 petang, 18 Julai iaitu selepas kira-kira tiga minggu mengendalikan beberapa kes berkaitan penipuan scammer.

“Menerusi ugutan itu, ada seorang individu tidak dikenali menyatakan tindakan saya membantu mangsa menjejaskan aktiviti mereka.

“Menerusi mesej dihantar dalam aplikasi WhatsApp, individu berkenaan mengugut untuk mengancam keselamatan saya termasuk ingin memberikannya ‘kacang’ bermaksud peluru atau tembak selain ugut membakar pejabatnya,” katanya kepada pemberita.

Beliau mula membantu mangsa penipuan scammer sejak 18 tahun lalu dan pernah menerima ugutan ringan sebelum ini namun tetap membantu kerana mahu memupuk kesedaran.

“Saya tidak menolak kemungkinan scammer tidak berpuas hati apabila saya menasihati mangsa supaya mengabaikan segala ugutan diterimanya termasuk tidak membayar wang atau pampasan dituntut.

“Dalam tempoh tiga minggu ini, saya menerima lima pengaduan berkaitan scammer dan saya cuba membantu kesemua mangsa,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Taman Desa Cemerlang di sini pada 19 Julai lalu.

Beliau yakin usahanya mendidik mangsa supaya tidak gentar dengan taktik scammer untuk menipu wang menimbulkan kemarahan.

Menurutnya, kebanyakan mangsa bekerja di Singapura dan menjadi mangsa selepas hanya menghubungi scammer yang menyamar sebagai syarikat pinjaman wang berdaftar.

“Kebanyakan mangsa tidak meminjam wang namun mereka terperangkap dengan taktik kotor scammer yang mendapatkan maklumat peribadi dengan alasan mahu mengenal pasti kelayakan untuk membuat pinjaman,” ujarnya.

Mereka, katanya, kemudian memaksa mangsa membuat bayaran sebagai yuran memproses pinjaman walaupun masih belum memutuskan untuk membuat pinjaman.

“Malah mereka juga bertindak mengancam keluarga mangsa termasuk membakar halaman rumah sekiranya tidak ikut dengan arahan mereka untuk membayar wang membabitkan ribuan ringgit termasuk membabitkan dollar Singapura (SGD$).

“Ada yang membayar wang yang diminta scammer berulang kali kerana bimbang dengan ugutan diterima. Scammer semakin bebas dan berani untuk mengancam keselamatan hingga mengakibatkan mangsa atau keluarga pindah ke lokasi lain serta menghadapi tekanan,” katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa terus memburu dan mengambil tindakan sesuai iaitu membanteras scammer secara besar-besaran. – MalaysiaGazette