Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA –  Isu pemberian sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah-sekolah Cina akan dijawab oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil mengesahkan isu tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan keputusan telah dibuat.

“Ada dibincangkan dan diputuskan KPM akan jawab nanti,  saya minta berhubung dengan pejabat KPM. Saya serahkan kepada KPM,” katanya ketika sidang media hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah sekolah rendah di Sepang, Selangor baru-baru ini menganjurkan konsert amal dengan penglibatan sebuah syarikat minuman keras yang merupakan antara penyumbang.

Memberi respon, Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana penglibatan syarikat minuman keras bagi membantu mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina sejak puluhan tahun lalu.

Sementara itu, KPM menerusi dalam kenyataannya telah memaklumkan pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut.

Dalam masa yang sama, KPM turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.- MalaysiaGazette