KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi tempat kepada pasangan kembar yang terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran kerana terpaksa menjaga ayah yang lumpuh selain ibu tidak bekerja.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kedua-dua remaja itu ditawarkan tempat di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan akan diberikan elaun.
“Semalam, ramai tag saya berkenaan kisah pelajar kembar yang amat daif menjaga bapa lumpuh, bergantung RM750 duit kebajikan.
“Hari ini MARA tawarkan tempat di KPTM Kota Bharu beserta elaun bulanan,” katanya di media sosial.
Seorang pengguna Facebook, Zarina Nawawi sebelum itu berkongsi cerita mengenai pasangan kembar itu menjaga bapa mereka yang lumpuh sejak lima tahun lalu selepas mengalami kemalangan.
Pasangan kembar lelaki dan perempuan tersebut baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dan masing-masing telah mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran tetapi terpaksa ditolak.
“Anak perempuan dapat Universiti Teknologi Mara sudah lepaskan tawaran nak bagi kembar yang lelaki peluang. Harga kemiskinan begitulah perlu pilih.
“Saya kata jangan, ada banyak peluang, pergi belajar dua-dua. Rasanya puan Dekan KUPTM (Kolej Universiti Poly-Tech Mara) boleh bantu ni untuk tempatkan yang girl belajar di KUPTM intake depan. Dah terangkan kepada dia elaunnya, faedah dan lain-lain belajar di KUPTM bawah MARA ni.
“Yang lelaki (Akmal) akan ke Politeknik Dungun daftar diri 28 Julai ini, ada cikgu dia yang akan bantu bawa dia ke sana,” kata Zarina.
Keluarga itu yang mempunyai enam orang anak bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM750 sebulan selain wang gaji yang diperoleh hasil pekerjaan anak sulung.
“Isteri tidak bekerja, ada bantuan JKM RM750 sebulan. Rumah sewa RM250 sebulan. Ada enam anak, lima masih usia belajar dan dalam tanggungan.
“Yang sulung perempuan bekerja di bandar Tanah Merah, dialah bantu keluarga. Di bahu emaklah belaka urusan hantar anak ke sekolah, gendong motor, masak, urus rumah,” menurut Zarina.
Mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Akmal Rizal bin Mohd Rafi 03054020933097 atau Bank Simpanan Nasional ibunya, Zuraida Bt Abdullah 0301241000072492.- MalaysiaGazette