Peta DUN Nenggiri dipamerkan pada sidang media mengenai pilihan raya kecil N43 DUN Nenggiri di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 28 JUN 2024
Peta DUN Nenggiri dipamerkan pada sidang media mengenai pilihan raya kecil N43 DUN Nenggiri di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 28 JUN 2024

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Nenggiri kali ini merupakan medan penting bagi UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam usaha untuk meraih semula sokongan pengundi dan mempertahankan kedudukan politik mereka. Setelah kejayaan gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) merampas dua kerusi DUN Kelantan daripada Pas dalam PRN yang lalu, peluang dilihat cerah untuk gabungan ini merampas pula kerusi DUN Nenggiri melihatkan kepada beberapa faktor.

Prestasi pilihan raya lalu

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 yang lalu, BN berjaya memenangi kerusi DUN Nenggiri dengan jumlah undi sebanyak 5,506 menewaskan calon Pas dengan majoriti sebanyak 461 undi sahaja. Namun kerusi ini tidak berjaya dipertahankan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan 2023 apabila BN tewas kepada calon PN iaitu dengan majoriti 810 undi sahaja. Melihatkan kepada margin kemenangan yang sedikit ini, BN sebenarnyamempunyai harapan untuk merampas kembali kerusi ini pada PRK yang akan datang.

Kesetiaan pengundi

Jika dilihat daripada jumlah undi yang diterima BN dalam kedua dua pilihan raya, iaitu PRU-14 dan PRN Kelantan 2023, jumlah undi berkenaan tidak banyak berubah, membuktikan BN mempunyai segmen pengundi yang tetap. Jumlah undi yang diterima BN pada PRU-14 adalah sebanyak 5,506 sementara pada PRN 2023 adalah sebanyak 5,707. Sekiranya BN mampu mengekalkan jumlah pengundi yang sedia ada di samping menawan hati pengundi baharu, tidak mustahil BN mampu menang.

Pengundi muda

PRK Nenggiri kali ini menyediakan satu pentas pilihan raya yang dinamik iaitu dengan menawarkan sejumlah 10,382 orang pemilih muda, iaitu sekitar 52% daripada jumlah keseluruhan pengundi. BN perlu merangka strategi khusus untuk menarik sokongan golongan muda ini sekiranya serius ingin menang.

Strategi fokus

Selain daripada memberikan tumpuan kepada usaha untu meraih undi orang muda dan pengundi baharu, BN hanya perlu menumpukan kepada enam buah daerah mengundi untuk mempunyai peluang merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri daripada PN/PAS. Enam buah daerah mengundi itu adalah di Jeram Tekoh, Sungai Asap, Jerek, Perasu, Bertam Baru dan Meranto yang menyimpan sejumlah 756 undi. Dengan fokus yang tepat dan strategi kempen yang berkesan, BN boleh meningkatkan peluang kemenangan mereka.

Polemik calon PN

Dari sudut Perikatan Nasional (PN), persoalan utama adalah siapa yang akan menjadi calon untuk kerusi tersebut? Adakah akan wujud isu pecah undi jika calon yang dipilih tidak mendapat sokongan padu daripada komponen parti dalam PN? Jika calon yang diletakkan adalah daripada PAS, adakah pengundi Bersatu akan mengundi BN sebagai bentuk protes?

Ini merupakan dinamika yang perlu diperhatikan kerana ia boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya. Namun jika sekiranya calon yang dipilih adalah daripada Bersatu, adakah pengundi PAS akan memboikot PRK ini?

Secara keseluruhan, PRK Nenggiri merupakan ujian penting bagi BN dalam usaha mereka untuk kembali relevan dan dominan di pentas politik, terutama di negeri Kelantan. Dinamika pengundi, calon yang dipilih, dan strategi kempen akan menjadi faktor penentu dalam keputusan PRK kali ini.

Pandangan ini daripada Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)