Muafakat nasional
Gambar hiasan

ALOR SETAR- Tiada perbincangan rasmi di antara pimpinan Pas dan UMNO untuk mewujudkan kerjasama politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Tegasnya, selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, beliau pasti dimaklumkan sekiranya ada pertemuan sedemikian.

Menteri Besar Kedah itu menambah, beliau menghadiri semua mesyuarat Pas namun tiada laporan pertemuan seperti yang diperkatakan.

Katanya, pertemuan  yang dikatakan berlaku di antara pemimpin kedua-dua parti itu mungkin terjadi ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Jelasnya, beliau sendiri menemui ramai pimpinan UMNO, PKR dan DAP, namun ia tidak menjurus kepada perbincangan mengenai hala tuju politik parti masing-masing.

“Tidak ada pertemuan rasmi. Jumpa tidak rasmi banyak kali. Saya pun jumpa pemimpin UMNO, DAP. Baru-baru ini jumpa Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi) di Istana Negara. Dia duduk depan saya.

“Kalau pertemuan itu dikira, memang saya jumpa selalu, tetapi tidak ada bincang hal tentang hala tuju politik,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata, terdapat dakwaan mengenai beberapa pertemuan di antara PAS dan UMNO dibuat bagi membincangkan kerjasama pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada perbincangan rasmi di antara parti itu dan PAS bagi membentuk kerjasama pada PRU.

Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan beliau sendiri juga secara peribadi tidak bertemu mana-mana pimpinan PAS bagi membincangkan perkara itu.-MalaysiaGazette