BUTTERWORTH – Taktik sekumpulan warga Pakistan menyewa rumah mewah bagi elak dikesan pihak berkuasa gagal selepas kediaman mereka diserbu semalam.
Jabatan Imigresen Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, empat lelaki berusia 30 hingga 45 tahun itu diberkas selepas didapati tinggal lebih masa serta tidak memiliki pas perjalanan yang sah.
“Hasil siasatan mendapati mereka menyewa kediaman itu pada kadar RM1,200 sebulan dengan beranggapan tindakan penguatkuasaan hanya akan dilakukan di kawasan perumahan biasa serta rumah kongsi.
“Pihak imigresen akan menjalankan siasatan lanjut terhadap pemilik kediaman dan tindakan selaras peruntukan undang-undang akan diambil jika sabit kesalahan” katanya hari ini.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, enam warga Myanmar yang merupakan pekerja kedai makan di Paya Terubong diberkas dalam Operasi Bersepadu yang dilakukan imigresen bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita yang berusia 25 hingga 35 tahun dan semakan juga mendapati masing-masing tidak memiliki pas yang sah.
“Semasa pemeriksaan dijalankan terdapat cubaan melarikan diri oleh pekerja kedai makan tersebut namun kesiapsiagaan anggota operasi telah berjaya menahan warga asing terbabit.
“Kesemua tangkapan dibawa ke depot imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette