Wan Ahmad Fayhsal.-Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Tindakan sekolah menerima sumbangan daripada syarikat arak merupakan langkah untuk menormalisasikan minuman memabukkan itu kepada kanak-kanak.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan tersebut amat mendukacitakan dan bukan satu langkah yang baik untuk generasi pelapis.

Menurutnya, isu membantah penglibatan syarikat arak di sekolah bukan berkaitan kaum, jauh sekali disebabkan kerana ia melibatkan sekolah jenis kebangsaan.

Justeru beliau menggesa pemimpin terbabit yang menyokong sumbangan dana daripada syarikat arak supaya kembali kepada asas moral.

“Anthony Loke perlu kembali kepada asas kompas moral iaitu kanak-kanak tidak sepatutnya didedahkan dengan jenama arak seawal usia mereka, apatah lagi di dalam sekolah.

“Ini bukan soal kaum atau sekolah jenis kebangsaan, ini soal untuk melindungi generasi masa hadapan kita daripada ancaman bahayanya arak dan kesan negatifnya kepada kehidupan,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Armada Armada Bersatu Malaysia itu berkata, langkah melarang pembabitan syarikat arak di sekolah selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan.

Serentak itu beliau menggesa supaya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya tegas dengan dasar terbabit dan tidak tunduk terhadap desakan pihak tertentu.

“Dalam masa yang sama saya menyeru penglibatan daripada syarikat korporat lain untuk membantu sekolah vernakular bagi mendapatkan dana tambahan untuk pengoperasian sekolah mereka. Ini dapat mengelakkan penglibatan syarikat arak dalam aktiviti sekolah.

“Saya berharap Menteri Pendidikan akan bertegas mengenai perkara ini dan tidak akan membuat keputusan u-turn hanya semata-mata memenuhi kehendak beberapa pihak yang mempunyai kepentingan tertentu,” katanya.

Baru-baru ini sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) menerima sumbangan daripada sebuah syarikat arak yang merupakan salah satu penyumbang semasa Konsert Amal Pendidikan. Usaha itu dikatakan bagi mengumpul dana membina dewan di sekolah itu.

Pada Selasa, Fadhlina memberitahu bahawa KPM tidak akan mengkaji semula garis panduan kepada institusi pendidikan dalam menerima sumbangan atau mengecualikannya kepada sekolah vernakular.

Menurutnya, semua sekolah perlu mengikuti panduan diberikan yang pada pendapatnya tidak terlalu sukar dipatuhi dan tidak mendatangkan mudarat.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberitahu akan memberikan penjelasan kepada Kabinet berhubung isu sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina.

Jelasnya, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana pembabitan syarikat minuman keras bagi membantu mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast