Wanita thailand yang disyaki menawarkan khidmat seks di sebalik pusat urut refleksologi diberkas dalam operasi JIM semalam. Ihsan JIM WPKL

KUALA LUMPUR – Empat wanita warga Thailand yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur kerana disyaki menawarkan perkhidmatan seks di premis refleksologi di Kepong, di sini, menerui Ops Gegar didapati sering pulang ke negara asal sebelum tempoh tinggal tamat sebelum masuk semula ke negara ini.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, taktik ‘pusingan U’ itu telah lama dikesan pihaknya dan beliau memberi amaran kepada pelancong agar tidak menyalahgunakan pas pelancong untuk melakukan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang negara

“Seramai empat wanita warga Thailand yang ditahan pasukan serbuan kami didapati sering keluar masuk ke Malaysia melalui pintu masuk di Utara Semenanjung berdasarkan cap-cap JIM (pada pasport).

“Malah siasatan lanjut kami mendapati modus operandi kesemua wanita berusia lingkungan 30 hingga 53 tahun itu adalah menggunakan pas pelancong dan akan pulang ke negara asal sebelum tamat tempoh 30 hari yang dibenarkan untuk tinggal di Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu, hari ini.

Dalam operasi sama seorang lelaki warga tempatan turut ditahan kerana disyaki berperanan sebagai penjaga premis rumah urut itu.

Penjaga premis berusia lewat 20-an itu ketika disoal siasat mendakwa tidak tahu mengenai kegiatan maksiat yang dijalankan di dalam premis terbabit.

Menurut Wan Mohammed Saupee, selepas pulang ke Thailand wanita-wanita itu akan masuk semula ke Malaysia dan pihaknya sentiasa memantau pergerakan mereka selain memastikan keberadaan pelancong tersebut tidak membawa elemen negatif kepada masyarakat.

Tambah beliau, serbuan itu dilakukan berikuan aduan orang awam tentang kegiatan maksiat dan tidak bermoral yang berlaku secara berselindung di sebalik premis refleksologi.

Katanya, dalam operasi itu seramai 18 pegawai dan anggota JIM Kuala Lumpur menyerbu premis yang terletak di tingkat dua yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk premis berkenaan bagi mengawasi pergerakan pihak berkuasa.

Sementara itu, salah seorang wanita yang ditahan berusia 53 tahun memberi alasan dia melakukan pekerjaan itu kerana memerlukan duit untuk menampung kos pengajian anak bongsunya di Thailand. – MalaysiaGazette