(ARKIB) Hawa Osman bercakap kepada media selepas hadir pada keputusan akhir kes kematian anaknya, Zulfarhan Osman yang berlaku pada 2017 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) membantah hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini berpendapat, hukuman mati bukan penyelesaian yang adil dan berkesan.

Katanya, gantung sampai mati adalah hukuman yang tidak boleh diubah dan tidak boleh diundur kembali sekiranya terdapat kesilapan kehakiman.

Malah ia juga bertentangan dengan gerakan global ke arah pemansuhan hukuman mati yang diakui banyak negara sebagai tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia.

Atas dasar itu, SUHAKAM meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua.

“SUHAKAM mengucapkan takziah kepada keluarga Zulfarhan dan maklum akan keputusan Mahkamah Rayuan, baru-baru ini.

“Dalam konteks ini, penting untuk menekankan aspek pemulihan kerana cara itu boleh membawa perubahan kepada pesalah menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab.

“Pendekatan ini bukan sahaja menangani punca kelakuan ganas terbabit tetapi juga membantu mencegah kejadian sama pada masa depan dengan menggalakkan persefahaman, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pesalah,” katanya.

Selasa lalu, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin sebulat suara memutuskan enam pelaku dalam kes bunuh Zulfarhan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Ia diputuskan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mengekalkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. SUHAKAM, Undang2 kadang2 bukan saja sebab nk hukum pesalah. Tp juga untuk bg amaran, peringatan dan ketakutan kepada masyarakat supaya tak ulangi jenayah yg sama.
    Kalau bunuh orang, tp dah tahu cuma dihukum ringan, agak2 masyarakat akan peduli? Sedangkan hukum berat pun masih ada yang masih ulang.

Comments are closed.