Suasana perkarangan lokasi serbuan premis kolam pancing yang disyaki melakukan sambungan bekalan air yang tidak sah di Jalan Bagan Hailam, Kawasan Perindustrian Selat Klang Utara, Pelabuhan Klang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 25 JULAI 2024.

PELABUHAN KLANG – Sebuah premis kolam memancing dikesan ‘mencuri’ bekalan air terawat bagi kegunaan harian di Jalan Bagan Hailam, Kawasan Perindustrian Selat Klang, di sini hari ini.

Kegiatan itu dikesan oleh pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam operasi penguatkuasaan secara mengejut kira-kira jam 10 pagi hari ini.

Pengarah Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna (SPAN), Ts Mohd Fazil Ismail berkata, pihaknya mendapati premis terbabit dikesan menggunakan paip HDPE berukuran 25 milimeter(mm) secara terus kepada paip utama Air Selangor.

“Berdasarkan tinjauan dan penelitian Air Selangor bersama SPAN serta ujian klorin yang dibuat ditapak itu mendapati air yang diambil adalah air terawat milik Air Selangor.

“Kita yakini pengambilan air secara tidak sah ini dipercayai berlaku semenjak setahun lalu dengan jumlah penggunaan sebanyak 37,000 meter kubik dengan anggaran nilai kerugian RM110,000.

“Malah semakan lanjut Air Selangor mendapati, panjang paip daripada sambungan tersebut kira-kira 70 meter yang melangkaui dua kolam di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan operasi penguatkuasaan mengejut di sini hari ini.

Tambah Mohd Fazil, pihaknya telah menerima aduan daripada orang awam susulan tekanan air yang rendah di kawasan ini dan tinjauan telah dilakukan oleh Air Selangor.

“SPAN akan bertindak memotong bekalan air di premis ini dan mereka perlu menjelaskan terlebih dahulu hutang yang tertunggak dengan Air Selangor sebelum bekalan disambung semula,” jelasnya.

Jelas Mohd Fazil, kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 123(1) dan Seksyen 123(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655y yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya lagi, sejak awal tahun hingga Jun lalu, SPAN telah mengesan sebanyak 42 kes penyambungan bekalan air terawat secara tidak sah di seluruh negara dengan 20 kes telah diselesaikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast