Datuk Seri Mohamad Hasan

VIENTIANE- Malaysia mahu semua pihak menghormati undang-undang antarabangsa dan undang-undang laut antarabangsa supaya keberadaan kuasa-kuasa luar dapat dikurangkan di Laut China Selatan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata Malaysia telah mencadangkan dalam sesi pleno Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM ke-57) supaya negara-negara ASEAN ini tidak memilih untuk memohon bantuan daripada pihak luar untuk menyelesaikan pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

“Sebaiknya isu dalam negara ASEAN dan dalam rantau Asia Tenggara ini diselesaikan melalui perundingan dan melalui dialog antara negara-negara.

Pemusatan ASEAN itu penting, jika ada antara kami atau negara ASEAN yang cuba membawa pengaruh luar untuk menyelesaikan masalah negara mereka, itu (akan) menyebabkan ketidaktentuan dalam rantau Asia Tenggara ini,” katanya kepada media Malaysia di sini pada Khamis.

Terdahulu, Mohamad mengetuai delegasi dari Malaysia menghadiri AMM ke-57 yang bermula hari ini, bagi Sesi Pleno dan Permukiman di Pusat Konvensyen Nasional (NCC) di Laos.

Selain itu, Mohamad berkata semua bersetuju bahawa ASEAN perlu memperbanyakkan rundingan supaya kehadiran pihak-pihak luar dapat dikurangkan.

“Ini yang kita cuba elakkan dan kita minta supaya kuasa-kuasa besar…saya tidak mengatakan siapa, tetapi semua kuasa besar yang mula berjinak-jinak untuk campur tangan dalam suasana keakraban kekeluargaan ASEAN ini supaya mereka tidak meneruskan hasrat mereka dan biarlah masalah dalam kalangan negara-negara ASEAN khususnya isu Laut China Selatan diselesaikan melalui proses rundingan dan dialog antara negara-negara ASEAN itu sendiri,” katanya.

Afiliasi wilayah beberapa pulau dan terumbu di Laut China Selatan telah menjadi subjek pertikaian antara China, Filipina dan beberapa negara Asia Pasifik lain selama beberapa dekad.

Rizab minyak dan gas yang signifikan telah ditemukan di pelantar benua pulau-pulau berkenaan, termasuk Kepulauan Paracel, Pulau Thitu, Terumbu Scarborough dan Kepulauan Spratly, dengan Terumbu Whitson menjadi sebahagian daripadanya.

Pada Julai 2016, berikutan tuntutan yang difailkan oleh Filipina, Mahkamah Timbang Tara Tetap di The Hague memutuskan bahawa China tidak mempunyai asas untuk tuntutan wilayah di Laut China Selatan.

Mahkamah memutuskan bahawa pulau-pulau itu bukan wilayah yang dipertikaikan dan tidak membentuk zon ekonomi eksklusif.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast