Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki ditemukan maut selepas disyaki terjatuh dari tingkat sembilan sebuah flat di Setapak, Wangsa Maju di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu kira-kira 11.50 pagi tadi.

“Siasatan awal anggota polis mendapati pelajar berusia 17 tahun itu dipercayai terjatuh dan insiden berkenaan langsung tidak disedari oleh ahli keluarganya.

“Mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa.

“Selain itu, siasatan lanjut juga mendedahkan bahawa mangsa dikenalpasti sebagai seorang pesakit psikiatrik dan sedang menjalani rawatan psikiatri di hospital.

“Buat masa ini kes telah diklasifikasikan sebagai laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya lagi.-MalaysiaGazette