Dr. Mohd. Ihsanuddin Abas

KUALA LUMPUR – Pengecualian kepada sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) daripada larangan menerima dana syarikat berkaitan arak dibimbangi membuka laluan kepada syarikat seperti judi, rokok dan vape menjadi penyumbang dana sekolah.

Sehubungan itu, pakar perubatan awam, Dr. Mohd. Ihsanuddin Abas berharap kerajaan bertegas dengan larangan tidak membenarkan sumbangan daripada syarikat-syarikat tersebut berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018.

Beliau yang juga Pengerusi I-Medik Terengganu menegaskan, pekeliling itu dengan jelas melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani.

“Dibimbangi pengecualian ini akan membuka ‘floodgates’ (laluan) kepada syarikat vape, rokok dan judi untuk turut sama menjadi penyumbang dana sekolah, kerana dengan pengabsahan syarikat arak, tiada alasan bagi menolak hasrat syarikat-syarikat ini untuk turut membuat sumbangan mereka.

“Sebaliknya, kerajaan boleh memperbetulkan keadaan dengan mempertegaskan kembali pekeliling ini bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Ujar Dr. Ihsanuddin, kajian kesihatan dan morbiditi kebangsaan (NHMS) tahun 2022 yang memfokuskan kepada kesihatan dan aktiviti berisiko remaja menunjukkan sebanyak tujuh peratus remaja pernah meminum arak dan 55 peratus mereka memperolehi minuman keras daripada keluarga.

Katanya, daripada jumlah peminum arak remaja itu, 73 peratus mempunyai ibu bapa yang meminum arak.

“Ini menunjukkan pendedahan awal ke atas remaja telah pun berlaku dan dibimbangi akan menjurus kepada ketagihan seterusnya penyakit kronik berkaitan mental dan fizikal individu berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, sekolah sepatutnya menjadi platform untuk merancakkan kempen berkenaan bahaya kesan arak dan elemen berkaitan arak tidak seharusnya dibenarkan masuk melalui apa cara sekalipun.

Ujarnya, ia juga amat bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Kata beliau, orang ramai juga sudah mengetahui kesan arak kepada masyarakat yang menyebabkan peminumnya mabuk, hilang pertimbangan, merosakkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan sehingga melakukan kerosakan yang boleh mengakibatkan jenayah.

“Sehubungan itu, kami menyeru seluruh rakyat yang berkesedaran dan mempunyai nilai moral yang tinggi untuk mengecam mana-mana sumbangan dan promosi syarikat yang menjual barangan yang merosakkan kesihatan seperti arak, rokok, vape dan seumpamanya bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga, ” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, sebuah sekolah rendah di Sepang, Selangor menganjurkan konsert amal dengan penglibatan sebuah syarikat minuman keras yang merupakan antara penyumbang.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya memaklumkan ia memandang serius perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana penglibatan syarikat minuman keras bagi membantu mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu. – MalaysiaGazette