PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak sektor swasta untuk berganding bahu bersama Kerajaan Perpaduan sebagai satu pasukan dalam memainkan peranan aktif bagi membantu mempercepatkan lagi proses pemulihan ekonomi dan pelaburan negara.
Perdana Menteri berkatam walaupun Malaysia kehilangan ‘masa’ (semasa Covid-19) namun negara mempunyai keupayaan dan sumber yang banyak sekaligus membolehkan ekonomi negara berada pada landasan sebenar.
“Saya benar-benar meminta sokongan berterusan daripada pihak swasta dan kerjasama sebagai satu pasukan untuk menjadikan Malaysia negara berjaya di dunia.
“Saya fikir beberapa siri perbincangan dan dialog antara kementerian dan sektor swasta pastinya membantu dalam memastikan kita berjaya,” katanya ketika menghadiri Majlis Gala Tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) ke-62 di Petaling Jaya, malam tadi.
Turut hadir Menteri Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semua pihak tidak boleh leka dengan kestabilan politik yang dikecapi kini.
Anwar sebaliknya berkata, kestabilan itu perlu digunakan untuk perubahan antaranya reformasi institusi termasuk melaksanakan dasar tidak popular yang mana ia penting untuk memastikan kejayaan negara.
“Dasar yang tidak popular itu termasuklah tarif elektrik (penyelarasan tarif) dan rasionalisasi, tetapi ia perlu dilakukan.
“Rasionalisasi itu baik untuk ekonomi namun sukar dari aspek politik tetapi untuk menyelamatkan negara daripada ketirisan yang menyebabkan kehilangan berbilion ringgit,” katanya lagi.
Dalam majlis sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada NCCIM bagi menghargai sumbangan organisasi itu dalam menggalakan kemasukan pelaburan asing ke negara ini. – MalaysiaGazette