Keadaan tasik di Taman Tasik Taiping, Perak mencatatkan paras air rendah yang luar biasa disebabkan cuaca panas dan kering tanpa hujan selama dua minggu. Foto BERNAMA

IPOH – Tiada keperluan untuk dilaksanakan operasi pembenihan awan di Taman Tasik Taiping yang mana kawasan tasik kering ekoran cuaca ekstrem dan kurang taburan hujan sejak beberapa minggu lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana tasik berkenaan hanya merupakan kawasan rekreasi dan situasinya berbeza dengan Empangan Bukit Merah di Bagan Serai.

Katanya, pelaksanaan pembenihan awan di Empangan Bukit Merah perlu dilakukan kerana ia adalah langkah untuk menyelamatkan sektor pertanian di Utara Perak.

“Keperluan (untuk dilaksanakan operasi pembenihan awan) Empangan Bukit Merah adalah mendesak kerana ia melibatkan sistem pengairan sawah padi dan pertanian.

“Oleh itu, kita tidak memberi perhatian untuk melakukan pembenihan awan di Taman Tasik Taiping kerana kos yang diperlukan agak tinggi.

“Oleh itu, kita berharap paras air akan pulih secara semula jadi apabila masuk musim hujan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Program ‘Townhall’ Wanita Perak di Hotel Casuarina@Meru, dekat sini, pada Khamis.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Salbiah Mohamed, serta Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching.

Terdahulu tasik di Taman Tasik Taiping dilaporkan kering ekoran cuaca panas yang ekstrem dan kurang taburan hujan melanda bandar berkenaan sejak beberapa minggu lalu.

Berdasarkan beberapa gambar tular di media sosial, tasik di taman awam tertua di Malaysia itu kering sehingga boleh dilihat keadaan tanah pada dasar tasik berkenaan merekah.

Dalam perkembangan sama, Saarani memberitahu Projek Perintis Pembangunan Telaga Pengeluaran Air Bawah Tanah dan Sistem Pengepaman untuk Loji Rawatan Air (LRA) Gunung Semanggol yang sedang dilaksanakan Lembaga Air Perak bukan penyelesaian kepada masalah penyusutan air di Empangan Bukit Merah.

Jelas beliau, selain hanya mampu untuk pengairan di kawasan sekitar, projek rintis itu hanya sebagai sumber air alternatif LAP.

“Ia (projek rintis Pembangunan Telaga Pengeluaran Air Bawah Tanah) tak akan menyelesaikan masalah itu (penyusutan air di Empangan Bukit Merah).

“Sebaliknya, ia hanya boleh digunakan untuk mereka yang sekitarnya saja dan bukan untuk tujuan pengairan pertanian,” katanya lagi. – MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast