KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Hasbie Muda memohon maaf dan bersedia dikenakan kompaun atas kesalahan meletakkan kenderaan di laluan pejalan kaki.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara itu turut berjanji kejadian serupa tidak akan berulang pada masa akan datang.

“Saya mengambil maklum dengan isu tular sebuah kenderaan Ahli Parlimen (Dewan Negara) yang diletakkan di laluan pejalan kaki.

“Sebagai pemilik kenderaan tersebut, saya dengan penuh rasa kesal memohon maaf atas apa yang berlaku dan mengambil tanggungjawab penuh.

“Saya amat menyesali kesulitan yang telah timbul dan bersedia dikenakan kompaun atas kesalahan tersebut.

“Saya berjanji kejadian ini tidak akan berulang lagi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Semalam, tular di laman sosial X berkenaan sebuah kereta Proton X90 yang didakwa milik seorang wakil rakyat yang diletakkan di laluan pejalan kaki sehingga mengganggu pengguna laluan tersebut.

Hantaran itu mengundang kemarahan orang ramai yang mendesak tindakan sewajarnya dikenakan ke atas individu terbabit tanpa mengira pangkat atau jawatan.

Hasbie turut memberikan reaksi terhadap hantaran di laman sosial X yang tular itu dan mengakui beliau adalah individu yang dimaksudkan dan turut memohon maaf. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast