Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita dan teman lelakinya ditahan di Pontian, Johor bagi membantu siasatan bayi wanita tersebut yang dipercayai didera.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supt. Mohammad Shofee Tayip berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Pontian semalam yang membuat pemeriksaan ke atas bayi tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disyaki terdapat unsur penderaan.

“Siasatan awal oleh Pegawai Perubatan Pakar Klinikal Jabatan Pediatrik Hospital Sultanah Aminah mendapati punca bayi tersebut tidak sedarkan diri kerana mengalami pendarahan otak dan kekurangan oksigen serta terdapat kecederaan di dahi dan lebam di bahagian mata disyaki ada unsur penderaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Mohammad Shofee, bayi yang berusia lapan bulan itu kini dalam keadaan ditidurkan kerana masalah pernafasan.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette