Foto: Palestine Olympic Committee

PARIS – Atlet-atlet Palestin disambut mesra oleh orang ramai sejurus tiba di Lapangan Terbang Paris-Charles de Gaulle, sehari sebelum permulaan Sukan Olimpik Musim Panas 2024, lapor Agensi Anadolu.

“Kami mewakili 15 juta orang tanpa negara. Jadi, apabila kami berada di sini mengibarkan bendera, kadangkala dalam protes, polis mungkin cuba menghalang anda daripada mengibarkan bendera (Palestin), tetapi mereka tidak boleh menghalang saya. Oleh itu, saya melakukannya dengan bangga hari ini,” kata perenang Yazan Al Bawwab kepada Anadolu.

Beliau mengucapkan terima kasih atas sambutan mesra dan sokongan yang diberikan orang ramai.

“Kami adalah sebuah negara yang tertindas, jadi kami gembira berada di sini supaya orang boleh mendengar suara kami.

“Kami ingin bermain sukan seperti orang lain, dan kami mahu dilayan seperti orang lain,” katanya.

Seorang lagi atlet Palestin, Fares Badawi menyatakan bahawa beliau berasa teruja dan menghargai sambutan mesra yang diterima sejurus tiba.

“Saya harap kami boleh melakukan yang terbaik untuk negara kami dengan cara terbaik.

“Kami di sini, kami kuat dan kami akan terus menjadi lebih kuat. Kami tidak akan pernah menyerah,” kata Badawi.

Peninju Wasim Abusal juga berkata dia berasa seolah-olah berada di samping keluarganya di sini.

“Semua orang di sini hadir bagi mengalu-alukan kedatangan kami. Saya berterima kasih kepada mereka,” kata atlet itu. – Bernama-Anadolu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast