Tian Soon (dua kanan) dan Jian Boon (kiri) melawat Jia Hui di sebuah rumah saudara mereka di Iskandar Puteri, semalam.

ISKANDAR PUTERI – Albertina Leo Jia Hui, 6, yang diculik di pusat beli-belah Eco Galleria di sini Sabtu lalu kini trauma dan berada dalam ketakutan setiap kali berada seorang diri selepas kejadian tersebut.

Perkembangan berkenaan dikongsikan Leo Qieo Xin, 37, kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon ketika melawat kanak-kanak perempuan itu di rumah saudaranya di Johor Bahru, semalam.

Tian Soon berkata, Jia Hui yang dilarikan dari Taman Botani, Iskandar Puteri ke Batang, Kali, Selangor kelihatan ceria apabila kembali ke pangkuan keluarganya.

“Semalam saya telah menziarahi keluarga Jia Hui bagi menyampaikan salam Menteri Besar Johor serta menyampaikan cenderahati kepada kanak-kanak perempuan itu.

“Walaupun daripada segi luaran Jia Hui tampak ceria, ibunya memberitahu anak ketiga daripada empat beradik itu rasa takut apabila berseorangan atau tinggal seorang diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tian Soon menziarahi keluarga itu bersama-sama Ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Tan Hiang Kee dan Pegawai Khas Menteri Besar Johor, Chua Jian Boon.

Sabtu lalu, negara digemparkan dengan kehilangan kanak-kanak perempuan terbabit ketika Festival Bon Odori Johor berlangsung di Eco Galleria, Taman Botani.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan oleh pihak polis setelah ditemui disorokkan di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selasa lalu, kira-kira hampir 56 jam selepas dilaporkan diculik.

Seramai lima suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 28 hingga 55 tahun ditahan sejak Ahad lalu bagi membantu siasatan.

Turut ditahan seorang lelaki dipercayai suspek utama yang berada bersama mangsa ketika polis membuat serbuan pada pukul 4.45 pagi di bilik hotel murah itu.

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, kerajaan negeri bersedia untuk menghulurkan sebarang bantuan kepada kanak-kanak itu dalam bentuk khidmat kaunseling.

Katanya, kanak-kanak itu dijangka akan menjalani ujian saringan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

Ketika ini ujarnya, keluarga berkenaan masih di bandar raya ini kerana perlu memberi kerjasama siasatan kes itu sehingga kertas siasatan dapat dilengkapkan.

“Ibu kanak-kanak itu merasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dan Menteri Besar Johor yang prihatin terhadap apa yang menimpa diri anaknya.

“Ibu kepada kanak-kanak itu berjanji akan lebih berhati-hati ketika menyertai festival jualan pada masa akan datang supaya insiden sama tidak berulang,” katanya.- MalaysiaGazette