Mohd Jafni (duduk tengah) bersama-sama penerima dan Ibu bapa pelajar yang hadir menerima sumbangan kemasukan ke IPT Awam dan Swasta Bagi Tahun 2024 Yayasan Sejahtera Kulai di Dewan Raya Kampung Melayu, Kulai, hari ini

KULAI – Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka bukan sahaja merancakkan kemasukan pelaburan asing malah akan meningkatkan pembelian hartanah di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, ia melibatkan jualan rumah dan hartanah di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu termasuk kawasan bawah JS-SEZ.

“Ini membabitkan kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).

“Saya mendapat makluman daripada pemaju perumahan, bermula tahun lepas, kebanyakan hartanah mereka habis terjual.

“Ini bermakna pembeli itu ada, kita jangka kuasa membeli akan berterusan dan lebih banyak rumah-rumah yang tak terjual akan dapat dijual dalam masa 2-3 tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta Bagi Tahun 2024 Yayasan Sejahtera Kulai di Dewan Raya Kampung Melayu Kulai hari ini.

Pada Mei lalu, Kerajaan Johor bercadang memperkenalkan dasar bagi mengekang lonjakan harga serta spekulasi hartanah susulan pelaksanaan JS-SEZ.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, langkah itu susulan kebimbangan ramai termasuk rakyat negeri ini dan pelabur luar yang mengeluh susulan spekulasi hartanah sudah berlaku ketika ini di sebalik perancangan kerajaan negeri membangunkan zon ekonomi khas berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Jafni memberitahu, dianggarkan lebih 90 peratus rumah teres telah terjual membabitkan terjual terutama bagi hartanah yang berharga bawah RM600,000 dan ke bawah.

Pertumbuhan positif ini menyaksikan hartanah tidak terjual di negeri ini khususnya di kawasan Johor Bahru semakin berkurangan.

“Sebenarnya ramai orang salah faham bahawa hartanah tidak terjual berlaku di Johor bukan berlaku disebabkan lambakan rumah teres dan Rumaj Mampu Milik Johor (RMMJ).

“Ia majoritinya melibatkan servis apartmen yang nilainya lebih RM600,000 hingga lebih RM1 juta, daripada kira-kira 70,000 unit yang dibina, hanya tinggal 11,000 masih belum terjual,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada projek rumah sakit dan terbengkalai di negeri ini dengan hanya tinggal empat sahaja projek perumahan yang dalam usaha diselamatkan.

“Kita sasar untuk menyelamatkan 10 projek rumah sakit dan terbengkalai melibatkan 3,500 pembeli dengan nilai hartanah hampir RM1 bilion. Hanya baki empat sahaja yang tinggal, Insya-Allah hujung tahun ini dapat diselesaikan,” tambahnya. – MalaysiaGazette