Tengku Zafrul (tiga dari kiri) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kilang keenam Plexus di Bandar Cassia, Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.

BATU KAWAN – “Keluhan pengusaha bas kilang agar diberi pertimbangan dalam mendapatkan subsidi diesel akan disampaikan kepada Kabinet,”.

Itu janji Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Saya percaya isu ini telah dibangkitkan dan kementerian berkaitan seperti Kementerian Pengangkutan, Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kewangan akan menjawab perkara ini.

“Kita sebagai kerajaan kita dengar (isu berbangkit berkaitan diesel daripada pihak) walaupun MITI sebenarnya adalah kementerian dalam sektor pembuatan.

Zafrul.

“Isu yang berbangkit (keluhan pengusaha bas kilang) ini boleh sampaikan di Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengusaha bas meminta campur tangan MITI untuk berunding dengan pihak industri agar menyemak semula perjanjian perkhidmatan bas kilang susulan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi dan bas kilang tidak termaktub dalam penyasaran tersebut.

Terdahulu Tengku Zafrul menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kilang keenam Plexus di Bandar Cassia di sini hari ini.

Mengulas mengenai majlis tersebut, beliau berkata, Plexus melaburkan RM1 bilion untuk pembinaan infrastruktur seluas 560,000 kaki persegi dan ia dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Projek ini yang dinamakan sebagai Plexus Bridgeview ini membantu pertumbuhan dan pelaburan di dalam negara, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baru 2030.

“Pelaburan ini juga dijangka mewujudkan 1,800 peluang pekerjaan pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette