KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor yang memohon untuk membatalkan tiga pertuduhan pecah amanah dihadapinya.
Ketiga-tiga kes itu ialah pecah amanah itu melibatkan dana syarikat lebih RM21 juta berkaitan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) pada 2010 dan 2011.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan untuk menolak permohonan itu yang antara alasannya ialah tertuduh ketika ini telah disahkan mengalami neurodegeneratif progresif yang konsisten.
Ahmad Ramli yang berusia 80 tahun juga disahkan mengalami dimentia dan pihaknya mendakwa adalah tidak adil untuknya berdepan perbicaraan dengan tahap kesihatan seperti itu.
Bagaimanapun kata Azhar, situasi yang dihadapi Ahmad Ramli perlu disiasat dan diadili oleh Hakim Mahkamah Sesyen.
Oleh yang demikian, beliau memutuskan supaya permohonan membatalkan tiga pertuduhan atas alasan kesihatan mental ditolak, sebaliknya dikembalikan ke mahkamah Sesyen terlebih dahulu supaya dapat menilai apakah tertuduh layak untuk dibicarakan.
Pagi ini kelibat Ahmad Ramli tidak kelihatan dan difahamkan mahkamah telah memberinya pengecualian untuk tidak hadir prosiding hari ini.
Pada Ogos 2022, Ahmad Ramli yang juga bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan pecah amanah itu dan mohon dibicarakan ketika itu.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu sebagai Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta iaitu dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dengan curang meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation Pte. Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.
Pertuduhan ketiga, beliau didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.
Ahmad Ramli dilantik sebagai Panglima TLDM pada 1996 dan bersara wajib pada 1998 selepas berkhidmat selama 35 tahun dalam pasukan keselamatan itu.
Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan kos keseluruhan RM9 bilion dan kontrak bagi projek itu bermula 2013 serta dijangka siap dalam masa 10 tahun.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS, yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini. -MalaysiaGazette