KUALA LUMPUR – Beratus-beratus penduduk sekitar Sungai Lokan dan Kampung Koyah di Kinabatangan, Sabah kini dalam keresahan berhubung pemilikan tanah yang telah diteroka mereka oleh lebih tiga generasi.
Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, ratusan penduduk telah membuat aduan tentang tanah berkenaan dan mendakwa telah diberikan geran kepada pihak ketiga.
Difahamkan, penduduk telah meneroka tanah berkenaan dengan menanam pokok kelapa sawit dan buah-buahan kira-kira 30 tahun lalu.
Kata Hishamuddin, penduduk mendakwa telah membuat permohonan tanah Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) sejak 1997 namun ditolak pada 2014.
“Penduduk kampung telah mengambil inisiatif dengan membuat semakan semula berkenaan dengan permohonan tanah di PHT dan mendapati permohonan tanah tersebut masih sah dan status masih dalam proses ke Jabatan Teknikal.
“Namun kini penduduk kampung tahun ini dimaklumkan tanah yang mereka pohon pada sekitar tahun 1997 telah dikeluarkan geran kepada pihak ketiga,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Kata Hishamuddin, tanah yang didiami oleh ratusan penduduk Sungai Lokan di Kinabatangan itu telah dipindah milik kepada suatu syarikat selepas puluhan tahun mereka menunggu geran yang dipohon sejak 1997.
Jelasnya, penempatan sementara itu kemudian digunakan penduduk untuk aktiviti pembalakan pada 1990 telah ditukar menjadi ladang tanaman kelapa sawit sehingga sebilangan penduduk mendapat permohonan tanah dan lesen daripada Lembaga Sawit Malaysia (MPOB).
“Namun baru-baru ini sebuah syarikat mula masuk dan mengukur tanah yang telah didiami oleh penduduk kampung dengan alasan tanah tersebut telah digazetkan sebagai tanah pertanian. Malah mereka telah diberikan masa hingga hujung Disember untuk kosongkan tanah itu,” katanya.
MHO bersama wakil penduduk akan membuat laporan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menggesa satu siasatan dijalankan berkaitan isu tersebut. – MalaysiaGazette