Penerbit filem 'Mentega Terbang', Tan Meng Khen (kanan) dan juga pengarahnya, Mohd Khairianwar Jailani hadir ke mahkamah untuk didakwa berikutan dakwaan menghina agama Islam ketika di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menetapkan 24 Oktober depan bagi mendengar hujahan lisan penerbit dan pengarah filem kontroversi, ‘Mentega Terbang’ berhubung keabsahan Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Ini kerana kedua-dua pemohon sebelum ini untuk menentukan sama ada frasa melukakan perasaan agama seseorang, iaitu berkaitan unsur dalam kesalahan seksyen berkenaan, melanggar hak bagi perbicaraan adil kerana tidak sah dan tidak jelas.

Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy menetapkan tarikh 18 Oktober untuk kedua-dua pihak, pembelaan dan pendakwaan untuk memfailkan hujahan bertulis.

Pada Jun lepas, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan permohonan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang merujuk dua persoalan Perlembagaan ke Mahkamah Tinggi, bersabit tuduhan melukakan perasaan penganut agama lain, yang dihadapi mereka.

Pengarah filem itu, Mohd Khairianwar Jailani, 32, dan penerbitnya, Tan Meng Kheng, 37, memohon untuk merujuk kepada Mahkamah Tinggi bagi menentukan sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang melindungi kebebasan bersuara.

Pada prosiding hari ini, pemohon diwakili peguam Zaid Malek manakala Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Nadia Mohd Izhar hadir bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).

Mohd Khairianwar dan Meng Kheng didakwa sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek dalam penglihatan orang, dengan berperanan sebagai pengarah, penulis skrip dan penerbit Mentega Terbang.

Akhir tahun lalu, Mohd Khairianwar dan Meng Kheng memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan kerajaan mengharamkan filem berkenaan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan filem itu pada 1 September tahun lalu, yang mana kedua-dua lelaki terbabit mendakwa ia satu tindakan tidak rasional yang melanggar kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast