Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada Rabu lalu bersetuju untuk mengekalkan garis panduan sedia ada termasuk aktiviti sumbangan dana kepada sekolah yang tidak boleh memapar dan mempromosikan minuman keras di dalam premis sekolah.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan berkata, mesyuarat tersebut dalam masa sama memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan dana melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Yayasan.

“…seperti mana yang telah diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak,” kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun ujarnya, Jemaah Menteri menegaskan supaya penganjuran aktiviti berkaitan jenama minuman keras tidak boleh melibatkan pelajar Islam.

Baru-baru ini media melaporkan sebuah sekolah rendah di Sepang, Selangor menganjurkan konsert amal dengan penglibatan sebuah syarikat minuman keras yang merupakan antara penyumbang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kemudian berkata, tajaan berkenaan adalah untuk penganjuran konsert amal dan bukannya sumbangan kepada sekolah berkenaan.

Katanyam konsert amal itu dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan LPS. – MalaysiaGazette