Ahmad Zahid (kanan) beramah mesra dengan peserta dalam program Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Pusat Konvensyen Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menjenamakan semula Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penjenamaan semula itu bagi menukar persepsi dan minda penghuni rumah berkenaan terhadap projek yang dilaksanakan di bawah kementerian berkenaan.

“Rumah PPRT dulunya keluasan 600 kaki persegi kita telah ikut dasar perumahan negara dan kita tambah baik keluasan kepada 680 kaki persegi dengan standard dan piawaian dasar perumahan negara.

“Konsep ‘rent to own’ yang diperkenalkan akan mengurangkan beban penghuni dan akhirnya menjadikan mereka sebagai pemilik mutlak rumah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan rumusan di Pemukiman Program Utama KKDW, di Pusat Konvensyen Desaru, Bandar Penawar, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berharap program itu akan dicontohi kementerian lain yang terlibat dalam penyediaan rumah untuk rakyat terutama Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri, jabatan perumahan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Konsep ini kita mesti lakukan perubahan dan mesti bukan hanya ikut dasar perumahan negara tetapi harus lebih menyeluruh didalam menukar minda dan citarasa kepada pemegang taruh yang terlibat terutama pembeli dan penghuni rumah-rumah kos rendah tersebut,” katanya.

Beliau memberitahu, bagi tahun ini KKDW memperuntukan RM460.4 juta untuk membina 3,000 unit PPRS dan membaik pulih 12,600 unit rumah berkenaan.

Tambahnya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kementerian juga sedang rancang lebih banyak pembinaan PPRS.

“Untuk RMK12 lebih 10,000 unit telah dibina. RMK13 kita sedang rancang lebih banyak kerana kita tahu kos boleh dikurangkan terutama kos pembelian tanah, kos untuk infrastruktur jalan atau lorong masuk ke kawasan perumahan dapat dikongsi bersama kerajaan negeri, PBT dan syarikat-syarikat kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette