Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

MUAR – Seorang wanita warga emas kerugian RM249,700 selepas diperdaya scammer yang menyamar sebagai pegawai polis dari Jabatan Komunikasi Digital di Putrajaya yang mendakwanya terlibat pelbagai aktiviti haram.

Ketua Polis Derah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima aduan daripada wanita berkenaan yang berusia 64 tahun semalam yang mendakwa menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“Menurut mangsa, pada 20 Julai lalu, dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil daripada Jabatan Komunikasi Digital di Putrajaya.

“Suspek berkenaan menyatakan nombor telefon pengadu telah terlibat dengan pelbagai kegiatan haram di sebuah bandar di utara Semenanjung Malaysia.

“Panggilan telefon itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai seorang anggota polis berpangkat inspektor,” katanya
dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kemudian mangsa diminta memberikan butiran perbankan dan maklumat peribadi miliknya.

Disebabkan takut wang dalam akaun miliknya disita, mangsa mengikut semua arahan suspek dengan memasukkan semua wang miliknya dalam lima akaun berbeza.

Mangsa, ujar beliau, melakukan 47 transaksi dalam lima akaun berkenaan yang berjumlah RM249,700 dan semalam wanita itu sekali lagi diminta suspek untuk memasukkan wang RM10,000 bagi tujuan penyelesaian kes.

“Wanita berkenaan enggan menurut arahan suspek dan mula merasa bahawa dirinya telah ditipu. Mangsa mengalami kerugian berjumlah RM249,700 dan wang berkenaan adalah hasil peninggalan mendiang suaminya,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan juga denda.- MalaysiaGazette