Ahmad Zahid (tengah) beramah mesra selepas menyampaikan rumusan di Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Pusat Konvensyen Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina di Sepang, Selangor baru-baru ini adalah untuk penganjuran konsert amal.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tajaan daripada syarikat tersebut bukan untuk sumbangan kepada sekolah berkenaan.

Beliau menjelaskan, konsert amal terbabit dianjurkan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dan pihak lembaga sekolah berkenaan.

“Apa yang telah kita bincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu yang lalu bukan soal sumbangan daripada syarikat-syarikat minuman keras itu atau syarikat rokok atau syarikat-syarikat sejenama dengannya.

“Apa yang dilakukan adalah penajaan kepada ‘event’ itu dibuat oleh syarikat berkenaan dan ianya dianjurkan PIBG dan pihak lembaga sekolah itu. Dalam perkara ini ianya tidak pun menyebut tentang sumbangan daripada syarikat minuman keras itu kepada mana-mana sekolah sebagaimana persepsi yang wujud,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan rumusan di Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Pusat Konvensyen Desaru, Bandar Penawar di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, akan memberikan penjelasan kepada Kabinet berhubung isu sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Sepang menerima sumbangan daripada syarikat minuman keras.

Ahad lalu, kontroversi tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan membina dewan sekolah itu yang didirikan sejak 30 tahun lalu, didapati turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat arak.

Perkara tersebut menimbulkan kemarahan beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya akan memberikan penjelasan kepada Kabinet berhubung isu sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataannya sebelum ini, memaklumkan memandang serius perkara itu dan sedang melakukan siasatan lanjut.

KPM turut mengingatkan pentadbir di institusi pendidikan di bawahnya supaya mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

Surat pekeliling KPM pada 29 Mac 2018 menyatakan sumbangan kepada sekolah-sekolah tidak boleh melibatkan syarikat arak, rokok, judi dan seumpamanya kerana boleh jejaskan potensi murid daripada segi rohani, emosi dan jasmani. – MalaysiaGazette