GEORGE TOWN – Sekurang-kurangnya 12 lif di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menempatkan pentadbiran kerajaan negeri, di sini, terpaksa dihentikan operasi selepas tangki air di tingkat 27 bangunan itu melimpah hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar, Teh Lai Heng berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5 pagi tadi.
Jelas beliau, laporan daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang Setia Urus (PDCSU) memaklumkan telah berlaku masalah teknikal menyebabkan tangki air di tingkat 27 melimpah.
“Impak kejadian itu menyebabkan kira-kira 12 lif khususnya bagi zon tengah dan zon atas terpaksa dihentikan.
“Bagaimanapun, setakat jam 11 pagi tadi beberapa lif telah dibenarkan untuk diakses termasuk zon tengah,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu tular beberapa keping gambar menunjukkan penjawat awam berkumpul di tingkat bawah bangunan tersebut susulan tidak dapat mengakses lif ke pejabat masing-masing. – MalaysiaGazette