Antara peralatan dan barang hasil samun yang dicuri tiga lelaki selepas pecah masuk sekolah, pejabat ahli Parlimen dan tokong di Kulai awal bulan ini

KULAI – Beberapa siri kes pencerobohan dan pecah masuk pejabat sekolah, pejabat ahli Parlimen Kulai dan tokong di daerah ini awal bulan ini dapat diselesaikan selepas tiga lelaki tempatan ditahan.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan ditahan kira-kira pukul 3.30 pagi, pada 20 Julai lalu selepas empat serbuan dilakukan di lokasi berbeza sekitar Johor Bahru dan Kulai.

“Mereka yang ditahan dan berusia antara 24 hingga 29 tahun itu dipercayai terbabit dengan kegiatan berkenaan.

“Dalam serbuan ini, kita berjaya merampas sejumlah barang kes dipercayai yang telah dicuri bersama peralatan dan kenderaan yang digunakan semua suspek ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, malam tadi.

Menerusi tangkapan itu pihaknya percaya telah berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah pejabat sekolah, satu kes pecah pejabat ahli Parlimen Kulai dan satu kes pecah tokong dalam daerah ini.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti dan mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.

Menurutnya, hasil semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka positif methamphetamine.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis kira-kira pukul 9 pagi, 8 Julai lalu dibuat seorang wanita tempatan berusia 48 tahun yang juga seorang Guru Penolong Kanan di sebuah sekolah agama dekat Taman Kota Kulai.

Beliau berkata, pengadu mendakwa ketika dia tiba di sekolah kira-kira pukul 7 pagi mendapati beberapa peralatan elektrik dan komputer riba telah hilang sekali gus mengesyaki berlaku kejadian pecah masuk.

Sementara, pada 9 Julai lalu, pukul 10.57 pagi katanya, terdapat satu laporan polis dibuat seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pembantu di pejabat ahli Parlimen Kulai.

“Pengadu mendakwa apabila tiba di pejabat pada pukul 9.15 pagi, dia dapati pejabat disyaki dipecah masuk dan beberapa barangan elektronik, tablet serta telefon bimbit hilang,” katanya.

Sementara itu, berkata, pada 19 Julai lalu, kira-kira pukul 10.30 malam, 19 Julai lalu pihaknya membuat tangkapan ke atas seorang lagi lelaki tempatan bersama-sama rampasan sebilah pisau selesai disyaki menceroboh sebuah kawasan sekolah kebangsaan di Kulai.

“Ujian awal saringan air kencing yang dijalankan ke atas tangkapan didapati negatif dadah,” ujarnya. – MalaysiaGazette