Yuserrie Zainuddin melancarkan Program Editourism di Pusat Rekreasi Air UMPSA Pekan semalam

PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menganjurkan program Pelancongan Pendidikan (edutourism) yang dilihat mampu menonjolkan ​keunikan universiti berkenaan.

Menurut Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin, program berkenaan  dapat menunjukkan keistimewaan flora dan fauna di negeri ini selain mempromosi keindahan Malaysia menerusi beberapa pakej  khusus.

Program edutourism juga menyokong strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang dapat memberi manfaat kepada kelestarian pelancongan terutamanya menggunakan sumber alam sekitar secara optimum dan memulihara sumber asli dan biodiversiti.

”Selain mewujudkan jaringan kerjasama antara negara, industri serta agensi yang terlibat, program ini akan menjadikan UMPSA sebagai hab pelancongan pendidikan utama di negeri Pahang seiring dengan agenda menjayakan Tahun Melawat Malaysia yang telah ditetapkan pada tahun 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing ke negara ini.

”UMPSA juga mempunyai pelbagai fasiliti untuk pembangunan sukan untuk sahsiah pelajar serta komuniti setempat untuk menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi seperti Rimba Lestari, pusat rekreasi air, tapak perkhemahan, rentas halangan, peralatan dan kelengkapan kayak, kemudahan paintball dan kolam selaman yang merupakan satu-satunya universiti awam yang mempunyai pusat selam di negara ini.

“Sebagai universiti terbaik dalam rangkaian universiti teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA akan terus memperlihatkan komitmen universiti di dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) serta menilai usaha universiti dalam menangani masalah dunia berkaitan ESG,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada masa sama, usaha itu mampu membawa masuk mahasiswa antarabangsa ke Malaysia melalui inisiatif meningkatkan kebolehpasaran graduan premium dan menyokong usaha edutourism yang dilaksanakan di UMPSA.

Dalam pada itu, UMPSA juga giat menjalankan inisiatif terhadap usaha memupuk kesedaran amalan lestari.

Antaranya pemasangan solar di universiti ini melibatkan tiga kaedah iaitu pemasangan di atas bumbung bangunan, pemasangan atas pakir kenderaan dan pemasangan solar atas permukaan tasik. – MalaysiaGazette