Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz

MUAR – Seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM385,000 selepas terpedaya dengan love scam seorang lelaki mendakwa warga negara China yang dikenalinya menerusi Facebook pada bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, wanita tempatan berusia 50 tahun itu berkenalan dengan suspek tersebut yang mengaku warga negara China dan bekerja sebagai jurutera komputer.

“Mereka berkenalan menerusi Facebook sebelum berhubung menerusi WhatsApp. Mangsa kemudian menjanlinkan hubungan cinta secara alam maya dengan suspek.

“Menerusi perkenalan itu, suspek mengaku sebagai jurutera komputer dan menawarkan satu pelaburan kepada mangsa yang boleh menjana keuntungan sebanyak 50 peratus daripada modal yang dilaburkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, suspek memberitahu mangsa yang merupakan peniaga hanya perlu mendaftar pelaburan melalui satu platform dan memasukkan modal ke dalamnya.

Menurut beliau, mangsa kemudian melakukan 12 transaksi berjumlah RM385,000 sebagai modal pelaburan dari 27 Jun sehingga 10 Julai lalu ke dalam dua akaun bank yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat.

“Mangsa telah melihat dalam platform tersebut dan mendapati keuntungan meningkat RK600,000 dan cuba mengeluarkan wang daripada platform tersebut tetapi suspek memintanya memasukkan lagi RM100,000 sekiranya ingin mengeluarkan wang tersebut,” ujarnya.

Mangsa, kata Raiz Mukhliz, enggan berbuat demikian dan cuba menghubungi suspek selepas itu tetapi gagal.

“Menyedari ditipu mangsa hadir dam membuat laporan polis semalam. Mangsa mengalami kerugian RM385,000 iaitu hasil wang simpanannya sendiri,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan juga denda.- MalaysiaGazette