Wartawan MalaysiaGazette, Syahira Yahya diberikan taklimat dan tatacara penggunaan senjata kecil oleh Laskar Kanan Maritim Mohamad Firdaus Ibrahim I Chan ketika menyertai pertandingan menembak sempena Hari Bersama Media Pahang anjuran Maritim Malaysia di AMSAS hari ini

KUANTAN-  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri (APMM) Pahang telah melaksanakan sebanyak  17,925 pemeriksaan ke atas kapal dan bot di perairan di negeri ini bagi tempoh 2022 hingga Jun 2024.

Pengarahnya Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 38 kes tangkapan telah dilakukan atas pelbagai kesalahan.

Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab (kiri) dan Pemangku Pengarah AMSAS, Kepten Maritim Haris Fadzillah
Abdullah (kanan)

”Antara kesalahan yang dilakukan menggaji pekerja asing tanpa kebenara, menangkap ikan tanpa kebenaran, pelanggaran peraturan maritim, dan pencerobohan perairan.

”Kesemua tangkapan ini adalah hasil usaha dan komitmen pegawai dan anggota maritim ketika menjalankan rondaan dan keselamatan perairan negara.

”Statistik Op Carilamat menunjukkan 37 kes dilaksanakan dari tahun 2022 hingga 2024 termasuk kes di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Daripada jumlah itu 30 kes berjaya diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai aktiviti menembak senjata kecil sempena Hari Bersama Media Peringkat Negeri Pahang di Lapang Sasar Tertutup,Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini hari ini.

Seramai 19 pengamal media menyertai Hari Bersama Media APMM Peringkat Negeri Pahang di Lapang Sasar Tertutup,Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini hari ini.

Pada program itu disertai seramai 19 orang pengamal media daripada pelbagai agensi media Negeri Pahang, wartawan MalaysiaGazette, Syahira Yahya berjaya memenangi acara Pertandingan Menembak Senjata Kecil dengan menduduki tempat ketiga.

Program berkenaan diadakan bagi menghargai kerjasama dan sokong berterusan daripada pihak media dalam menyampaikan berita mengenai Maritim Malaysia di samping memperkukuhkan hubungan antara pengamal media di negeri ini.

Selain itu program ini juga dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif strategik bersama pihak media dan diadakan sempena Majlis Tamat Latihan Laskar Kelas II Maritim Siri 17/2023 yang akan diadakan di Padang Kawad AMSAS pada 3 Ogos 2024 nanti.

Turut hadir sama Pemangku Pengarah AMSAS, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah serta Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki.

Sementara itu Haris Fadzillah Abdullah turut menjelaskan AMSAS merupakan pusat latihan penguatkuasaan maritim bertaraf antarabangsa dengan memberi penumpuan kepada pengurusan berkualiti, penambahbaikan berterusan serta latihan yang efektif dan efisien.

Beliau turut memaklumkan AMSAS menyediakan fasiliti canggih dan lengkap serta mempunyai jurulatih (Pegawai Maritim Malaysia) yang memiliki sijil profesional mengikut bidang-bidang kursus yang ditawarkan.

Antaranya latihan pengendalian senjata api kecil, latihan mencari dan menyelamat (CARILAMAT), navigasi, latihan menggeledah, latihan renang, perisikan, penyiasatan, forensik dan lain-lain lagi.

Beliau juga berkata, berdasarkan kualiti latihan dan fasiliti terbaik yang dimilik oleh AMSAS, pusat latihan ini telah menerima pelbagai pengiktirafan seperti persijilan MS ISO 9001:2015 dalam skop menyediakan latihan penguatkuasaan maritim.

Selain itu turut diktiraf Carilamat kepada peminta khidmat dari Jabatan Standard Malaysia (JSM) serta pengiktirafan sebagai Institusi Latihan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast