Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) memakaikan baju vest kepada jentera selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau di Dewan Taman Adda Height, Tebrau, Johor Bahru, malam tadi

JOHOR BAHRU – Kaedah konvensional UMNO mendekati dan mendampingi pengundi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak lagi sesuai dipraktikkan ketika ini sebaliknya perlu pendekatan baharu iaitu menerusi medial sosial.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cara lama sudah tidak lagi relevan dan gerak kerja jentera parti tersebut perlu mengikut kesesuaian serta keperluan semasa supaya relevan dengan perkembangan semasa.

“Kita harus lihat semula pendekatan kita. Gunakan pendekatan baharu, pertamanya menerusi media sosial. Bagaimana kita mahu bertemu mereka kalau mereka duduk di kondominium atau rumah mewah, dia tidak akan buka pintu. Jadi apa tindakan kita.

“Kita gunakan media sosial, kita mesti ubah cara ini. Cara dulu sesuai dengan cara dulu, cara sekarang sesuai dengan cara sekarang, cubalah. Kalau saya bercakap dalam dewan ini hanya 600 atau 700 perwakilan yang dengar.

“Tapi kalau buat dalam media sosial, keluar secara live, 100,000 orang akan lihat. Bukan sahaja 100,000 orang tapi satu atau dua juta orang akan lihat asalkan kita jadi pempengaruh atau ‘influencer’ dan mesti ada kandungan yang baik,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau di Dewan Taman Adda Height di sini malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Jazlan Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Azizul Bachok.

Zahid berkata, bagi menarik pengundi baharu untuk menyokong UMNO, tidak boleh lagi bergantung kepada pengundi lama yang mengundi parti itu semasa PRU15 sebaliknya perlu menarik mereka yang tidak menyokong parti sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perkiraan tersebut tidak relevan dan tidak boleh lagi dijadikan asas sokongan kukuh kepada parti sebaliknya pengundi atas pagar dan mereka yang tidak mempunyai parti perlu ditarik untuk menyokong UMNO.

Kata Zahid, UMNO perlu mengutamakan politik perkhidmatan dalam usaha menangani politik sentimen dan kebencian bagi menarik kembali sokongan orang Melayu.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, UMNO mahu golongan belia mendapatkan peluang pekerjaan berkualiti dengan mengikuti kursus yang ditawarkan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, lebih 4,000 kursus yang ditawarkan itu boleh disertai golongan belia termasuk mereka yang tiada memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Melalui pendidikan TVET Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) 1 dan SKM2, gaji primium yang dicadangkan mesti sekurang-kurangnya RM2,500. SKM3, SKM4 dan SKM5 gaji minimum mesti RM4,000. Terdapat 4,000 kursus yang pelbagai.

“Apakah kelulusan 4,000 jenis kursus, berapa ramai yang boleh masuk ke TVET pada tahun ini? Tadi di Desaru (Kota Tinggi) kami membuat keputusan bahawa untuk memasuki TVET tak perlu SPM. Siapa pun boleh masuk walaupun tak lulus SPM,” katanya.

Melalui TVET katanya, boleh masuk ke universiti tanpa ada sijil SPM dan perkara itu akan diperjuangkan pihaknya yang memang merupakan agenda parti. – MalaysiaGazette