(ARKIB) Orang ramai tidak melepaskan peluang melawat tapak jualan di Majlis FAMA FEST 2024 Selangor di AEON Mall Bukit Tinggi Klang. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2024.

KOTA BHARU- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak RM1.2 bilion hingga Jun tahun ini menerusi pelbagai program anjurannya di seluruh negara.

Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli berkata berdasarkan jumlah itu, pihaknya yakin mampu meraih baki RM800 juta menjelang akhir tahun ini, sekali gus mencapai sasaran jualan RM2 bilion yang ditetapkan bagi 2024.

“Jualan Agro MADANI antara program yang mencatat jualan tertinggi iaitu kira-kira RM80 juta menerusi 4,102 siri jualan, selain FAMA Fest dan cawangan jualan FAMA lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan FAMA Fest di sini semalam.

Aminuddin berkata FAMA Fest yang mula dilaksanakan pada 2017 hingga tahun lepas mencatatkan jualan sebanyak RM24 juta dengan penyertaan 2,180 usahawan dan bagi penganjuran tahun ini, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak RM7.85 juta melibatkan 755 usahawan.

Program itu katanya, membantu usaha pemulihan ekonomi setempat dan memberi impak yang besar menerusi padanan perniagaan serta jualan terus daripada usahawan kepada pengguna.

Beliau memaklumkan lapan lokasi FAMA Fest diadakan sepanjang tahun ini iaitu enam di Kelantan, diikuti Kuala Lumpur dan Sabah.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast