KUALA LUMPUR – Kemusnahan feri ikonik Pulau Pinang berlaku ketika era Datuk Seri Wee Ka Siong menjadi Menteri Pengangkutan, kata Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Menjelaskan lebih lanjut, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ia berpunca apabila terminal feri yang sepatutnya mengoperasikan feri ikonik itu telah diubah suai dan tidak lagi boleh digunakan semasa Ka Siong menjadi menteri.
“Memusnahkan terminal feri ikonik ini adalah punca sebenar mengapa feri warisan berusia 146 tahun ini tidak dapat lagi digunakan.
“Sepatutnya Wee punya sikap dan rasa tanggungjawab selepas merobohkan terminal bagi kegunaan feri ikonik ini.
“Namun, Wee memilih untuk melancarkan serangan dan kritikan tidak berasas terhadap saya,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Dalam pada itu, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan mengakui beliau dan DAP ada berkempen pada pilihan raya umum (PRU) lalu untuk memulihkan perkhidmatan feri ikonik itu.
Malah, ujar beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu juga bersetuju untuk membantu usaha tersebut.
Namun, kata beliau, pihaknya terkejut apabila kos bagi memulihkan perkhidmatan feri ikonik ini bukanlah sekadar untuk membelanjakan RM30 hingga RM40 juta sahaja.
“Bagi membina dan memperbaiki semula terminal feri ikonik ini bakal menelan belanja lebih RM80 juta lagi.
“Tidak ada sebarang justifikasi kewangan yang sepadan dan setara bagi Kerajaan Persekutuan untuk membelanjakan lebih RM120 juta untuk mengembalikan operasi feri ikonik tersebut, oleh kerana kos memperbaiki dan memulihkan terminal feri ikonik tersebut yang terlalu tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Guan Eng turut mempersoalkan sama ada Ka Siong akan meminta maaf kepada 1.8 juta rakyat Pulau Pinang atau memberikan penjelasan punca sebenar feri ikonik tidak dapat digunakan lagi, lantaran terminalnya yang telah dimusnahkan.
Sebelum ini, Ka Siong menyindir Guan Eng dan adiknya, Lim Hui Ying yang mengkritik beliau ketika membuat keputusan menamatkan perkhidmatan feri ikonik tersebut untuk digantikan dengan feri baharu.
Bagaimanapun, tambah Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, berita mengenai salah sebuah feri ikonik Pulau Pinang tersebut yang tenggelam beberapa hari lalu seolah-olah memberi gambaran sebaliknya.- MalaysiaGazette