KUALA LUMPUR – Seorang guru pendidikan jasmani direman enam hari bermula 26 Julai sehingga 31 Julai depan dipercayai melakukan amang seksual ke atas muridnya sejak sebulan yang lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superitendan, Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya telah membuka empat kertas siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Pada 25 Julai lalu, polis Hulu Selangor telah menerima sebanyak empat laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 2.03 pagi hingga 10 pagi.
“Suspek dipercayai melakukan amang seksual terhadap beberapa muridnya iaitu lelaki berusia 12 tahun di lokasi yang berbeza di sekitar daerah ini.
“Susulan itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor telah menahan suspek yang berusia 30-an di Bukit Beruntung jam 1.30 pagi semalam.
“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah serta tiada rekod membabitkan jenayah atau dadah,”katanya dalam kenyataan semalam.
Difahamkan, kesemua mangsa itu dicabul guru berkenaan ketika menyertai pertandingan bola sepak dan terpilih mewakili Hulu Selangor.
Tambah beliau, perbuatan jijik suspek itu dilakukan di beberapa lokasi berbeza, termasuk di bilik sebuah inap desa di Ulu Yam.
Sehubungan itu, orang ramai diminta segera tampil di mana-mana balai polis berhampiran sekiranya mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau menghubungi IPD Selangor d talian 03-60641132 untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette